KIMS DIWA Kota Marudu, Sabah - negerikertas.com

.

KIMS DIWA Kota Marudu, Sabah

 HARGA SEBUAH KEDEGILAN


Di hujung siang

anak-anak ayam berkejaran,      mengais dedaun kering di pasir gersang

rama-rama menyedut madu

akar bunga mercun berlingkaran

merahnya bersemarak

menjentik bahagia

setiap satu ragam itu buat aku cemburu


Semua kusaksikan dengan mata lepas

hati pilu, jiwa kacau, minda menerawang, jauh! kakiku ditambat rantai masa, langkahku terkunci,      lidahku bergumam di balik belahan bibir yang terkatup.


Di atas  kamboja merah jambu,

kulihat dia melambai mesra

bawaku terbang, lalu

terlihatlah jutaan nisan

tak bernama,

dia cuma ketawa


'Inilah harga yang kau bayar.            nilai kedegilan adalah bunga kemboja yang gugur,            ketakburan insan sepertimu, upahnya pusara tanpa nisan.   Tak akan ada  penghormatan terakhir saudaramu, wahai manusia! '


Aku terkesima

bagai mimpi lewat petang

kakiku masih berpijak di bumi nyata

lalu bertekuk aku dan berdoa sungguh-sungguh

'ampunilah kami ya Tuhan, enyahkanlah dia dari bumi ini!




Aku lihat di awal gelap

ada kemilau di langit kelam

tanda kembalinya harapan

selepas hujan wabak halimun


KIMS DIWA

Kota Marudu, Sabah

12 Jun 2020

.