.

.
Headlines News :
Home » » PUISI ANIE DIN - KE JALAN SUCI

PUISI ANIE DIN - KE JALAN SUCI

Written By NegeriKertas com on 16 Mar 2018 | 21.03

KE JALAN SUCI

Duduk mengaji berkawan lima,
tanggalkan serban letak di meja;
Menunai haji rukun kelima,
perlu berkorban banyak belanja.

Tanggalkan serban letak di meja,
diambil Kamal bawa berjalan;
Perlu berkorban banyak belanja,
ilmu dan amal cukup bekalan.

Anak Si Kamal bertatih jalan,
hala telaga kaki tersandung;
Ilmu dan amal cukup bekalan,
kesabaran juga harus dibendung.

Tepi telaga sembunyi tedung,
mematuk Seman sedang berangan;
Kesabaran juga harus dibendung,
sesama teman ringankan tangan.

Bersama teman makan janganan,
tidak ketinggalan kuih koci;
Sesama teman ringankan tangan,
dalam perjalanan ke kota suci.

Sepinggan janganan sepiring koci,
jamu perawat juga difikir;
Dalam perjalanan ke kota suci,
banyakkan selawat lantunkan zikir.

Ikan jelawat Seberang Takir,
pekatnya kurma masakan Kak Zam;
Banyakkan selawat lantunkan zikir,
banyakkan doa depan multazam.

Solat berjemaah dengan Kak Zam,
di belakang saf duduk mengaji;
Banyakkan doa depan multazam,
ketika tawaf dan juga sa'i.

Di belakang saf duduk mengaji,
tak lupa pula merenung Kaabah;
Selesai tawaf dan juga sa'i,
berwuquf pula di Padang Arafah.

Surah Al Zukhruf bacaan indah,
hari Sabtu khatamlah sudah;
Usai wuquf di Padang Arafah,
memungut batu di Muzdhalifah.

Ketul air batu cair melimpah,
Manisan lontar berwarna merah;
Memungut batu di Muzdhalifah,
dibawa melontar di tiga jamrah.

Sana berpindah sini pun pindah,
pindah ke sana di hujung huma;
Melontar sudah tahlul pun sudah
maka sempurna rukun kelima

Menebang pokok gunakan gergaji,
pokok berduri di tengah halaman;
Kepala bersongkok bergelar haji,
jagalah diri pelihara iman.

18/1/17 TBS



ROHANI DIN, dikenali dengan Bunda ANIE DIN, ibu rumah tangga yang mempunyai empat orang anak dan sepuluh orang cucu.
Giat menulis setelah bergelar nenek, bermula dengan novel bersiri Diari Bonda, yang hingga ke siri 6 dan lain-lain.  Juara 1 Novel; Anugerah Buat Syamsiah dan Juara 2 Novel Sanggar Anugerah Buat Syamsiah. Mengandalikan antologi puisi 4 negara – siri Bebas Melata, yang kini bersiri 12. Selain novel, beliau menulis cerpen, puisi, syair, mutiara kata dan pantun dengan jumlah bukunya kini mencecah 70 judul, termasuk 14 novel yang diterbitkan di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Kumpulan puisinya yang pertama bejudul Membilang Langkah dan terkini, keenam, Bersama Mas Mencari Emas. Beliau sering diundang ke sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi (maktab dan universiti) untuk memperkenalkan gaya penulisannya. Gemar menunaikan undangan sastera.


#PUISI


Share this post :

Posting Komentar